Sabtu, 3 April 2010

1 TAHUN 1 MALAYSIA - NAJIB


HARI ini genap setahun pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Setahun lalu sebaik melangkah masuk ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang kini menjadi sebutan dan ikutan rakyat di negara ini.



Dengan berpaksikan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, beliau membuang mentaliti rakyat Malaysia yang sebelum ini menganggap Yang Berhormat (YB) atau kerajaan adalah sebuah individu atau badan eksklusif yang tahu akan segala-galanya.



Akhirnya, budaya merakyatkan kerajaan dilakukan oleh Najib yang juga Presiden Umno, memberi peluang kepada rakyat untuk bersama-sama kerajaan memacu Malaysia ke arah mencapai negara maju sejajar inspirasi Wawasan 2020.Tidak cukup dengan itu, wibawa kepemimpinan Najib semakin mantap apabila melancarkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang antara lainnya berhasrat melonjakkan kuantum pendapatan perkapita rakyat daripada AS$7,000 (RM23,000) kepada AS$15,000 (RM49,000) setahun dalam tempoh 10 tahun.Sempena ulang tahun pertama pemerintahan Najib, marilah kita seluruh warga Malaysia , bersama-sama merenung sejenak akan usaha kerajaan dalam mengukuhkan ikatan perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik serta ekonomi negara ini.Persoalan yang seharusnya terbit di hati kecil setiap rakyat ialah apakah jasa dan usaha kita selaku rakyat di negara ini terhadap perpaduan, kestabilan politik dan ekonomi? Apakah peranan dan pengorbanan kita dalam menjayakan gagasan 1Malaysia dan Wawasan 2020? Dan apakah yang seharusnya kita wariskan kepada anak cucu kita nanti.