Isnin, 19 April 2010

ADA LAGI KELUAR PKR

200 ahli keluar PKR
PULAU PINANG 18 April - Akibat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pucuk pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), kira-kira 200 ahli parti berkenaan bertindak keluar daripada parti tersebut secara beramai-ramai hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh ahli PKR cabang Bayan Baru, Sungai Dua dan Permatang Damar Laut di sini dengan diketuai Pengerusi Tetap PKR cabang Bayan Baru, Ismail Mohamad Ali yang telah 11 tahun berada dalam parti itu.

Menurut Ismail, tindakan itu dibuat bersama ahli PKR yang lain kerana muak dengan perangai dan tindakan pemimpin parti berkenaan yang bertindak mendiamkan diri apabila sesuatu isu berkaitan kepentingan orang Melayu dan negara dipersoalkan 'rakan' mereka.

''Sebagai orang yang telah 11 tahun berada dalam PKR, saya melihat berlaku banyak kepincangan dalam PKR dan pakatan pembangkang ketika ini terutama apabila seorang ahli Parlimen mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak keistimewaan orang Melayu.

''Begitu juga dengan satu kes mahkamah seorang pemimpin parti yang turut memanggil pihak luar campur tangan. Dia panggil Amerika Syarikat (AS), Australia dan Kanada. Ini amat tidak baik dan merupakan satu bentuk penjajahan baru bagi rakyat Malaysia.

'Namun sehingga ke hari ini tiada seorang pun pemimpin PKR sama ada negeri atau pusat bersuara mengenai hal ini. Mereka diam membisu. Perkara ini benar-benar menyedihkan saya dan rakan-rakan yang lain," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut mengikuti jejak langkahnya ialah Ahli Jawatankuasa PKR cabang yang sama, S. Dhinabalan.

Ismail kemudiannya sambil disaksikan Dhinabalan dan ahli parti yang lain bertindak memotong kad keahliannya dalam PKR.