Menghampiri dua tahun pentadbiran kerajaan Pas di Kedah, timbul tanggapan umum bahawa rakyat Kedah merasa cukup selesa.
Persoalan pentingnya, benarkah rakyat Kedah yang berjumlah 1.8 juta orang benar-benar selesa dan menerima corak kepimpinan kerajaan Pas di Kedah?Adakah ini bermaksud Pas akan berterusan memerintah Kedah seperti mana legasinya di Kelantan?
Apakah ini petanda bahawa UMNO dan BN Kedah tidak lagi signifikan di hati rakyat Kedah?
Dari sudut yang lain dapat dinukilkan kerajaan Pas di Kedah hanya berada dalam keadaan syok sendiri dan mengambil kesempatan dengan mendakwa semua projek pembangunan yang telah pun dirancang hampir lima atau enam tahun yang lampau sebagai usaha mereka?
Bukankah ini menipu namanya, lembu yang teruk sapi mendapat nama?
Hakikatnya di Kedah banyak isu yang belum terjawab dalam bentuk tindakan pro-aktif oleh kerajaan Pas. Misalnya isu kebajikan dan kemiskinan rakyat. Walhal sebagai kerajaan yang mendakwa memperjuangkan Islam, itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan.
Tertunai sudahkah kesemua janji dalam manifesto 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'? Tiadanya masalah dalam pentadbiran kerajaan Pas adakah menjadi penanda aras bahawa mereka cekap dalam menguruskan kerajaan?
Ataupun masalah tidak berlaku kerana Pas tidak melakukan apa-apa, sekadar duduk diam dalam zon selesa?
Satu persoalan yang amat tidak masuk akal seandainya tidak wujud sebarang cacat cela dan kelemahan pemerintahan Pas di Kedah.
Namun harus juga diteliti kelemahan mereka gagal dikesani dan dicungkil kesan ketidakmampuan pembangkang yakni UMNO dan Barisan Nasional untuk mengetengah dan mempersembahkan isu-isu penting yang sedang dihadapi rakyat.
Misalnya isu pembalakan, peranan kaum keluarga dan rakan rapat Menteri Besar dalam pentadbiran serta salah guna dana syarikat berkaitan kerajaan negeri.
Jika dinilai secara luaran memang tidak banyak isu yang boleh diketengahkan sepanjang pentadbiran kerajaan Pas di Kedah. Ada dua faktor yang menjadi penyumbang.
Pertama, kerana Pas tidak melakukan apa- apa. Apabila sebarang perubahan, kemajuan atau usaha tidak dilakukan atau takut untuk dilaksanakan maka tidak akan adalah apa jua isu yang boleh dibangkitkan. Ibarat kata pepatah Inggeris 'no news mean good news'.
Keduanya, Pas mengambil sikap lepas tangan dalam banyak perkara. Ambil sahaja contoh program penswastaan pelupusan sisa pepejal dan pengurusan air negeri.
Tanggungjawab yang sepatutnya dibereskan di atas amanah negeri kini dilepaskan beban kepada Kerajaan Pusat.
Alasan Pas Kedah cukup mudah, ini semua kesan lulusnya Akta Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan penubuhan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.
Lantas jika pun berbangkit apa jua isu berkaitan dua hal tersebut selepas ini, maka Pas akan dengan mudah menuding jari, bahawa ini bukan lagi tanggungjawab mereka.
Mengambil pemerintahan negeri bukan sekadar memiliki asetnya tetapi harus turut sama menanggung liabilitinya.
Apa yang dapat diperhatikan, banyak isu penting yang melibatkan negeri lazimnya dijawab secara berseloroh dan sinis oleh Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abd. Razak atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Azizan.
Ini berlaku sama ada dalam sidang Dewan Undangan Negeri mahupun kenyataan dalam media massa. Wajar bagi kepimpinan kerajaan Pas misalnya menghurai dan menjelaskan secara fakta dan jujur berhubung beberapa item berikut.
Peluang ekonomi untuk rakyat bertambahkah? Meningkatkah pelaburan luar di Kedah sepanjang Pas memerintah? Bagaimana dengan projek mega seperti pusat penapisan minyak di Sungai Limau (SULIH)?
Bagaimana pula dengan isi rumah yang miskin? Adakah ia sudah berkurang? Jika berkurang berapa peratusannya? Banyakkah peluang pekerjaan untuk belia Kedah? Apa mekanisme yang telah dijana bagi menghalang penghijrahan anak muda Kedah ke negeri lain untuk mencari nafkah?
Kadar jenayah yang kian meningkat, pertambahan gejala sosial dan pembukaan banyak pusat hiburan yang boleh merangsang kepada masalah sosial, sudahkah diselesaikan secara serius?
Kadangkala terfikir di benak fikiran, apa tugas hampir 10 orang anggota Exco yang ada? Sekadar menikmati elaun dan gaji bulanan yang hampir mencecah RM18,000 sebulan selain melaram dengan kereta rasmi, atau sudah adakah petunjuk kejayaan dasar, program dan aktiviti yang ada substance serta kesannya kepada masyarakat di Kedah?
Ukuran kemampuan memerintah dan mentadbir sesebuah kerajaan bukan sekadar bersandar pada gelaran ustaz ataupun yang hanya pandai bercakap bahasa Arab dan Inggeris. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pemimpin diukur berdasarkan apa projek pembangunan yang telah direncana dan dilaksanakan. Sehinggakan kesan pembangunan berkenaan mampu mencambahkan peluang ekonomi pelbagai.
Kesungguhan pemimpin tidak terletak berdasarkan kepandaian memberi alasan dan menyalahkan orang lain atas apa yang dihadapinya kini. Akan tetapi diukur menerusi kebijaksanaan melerai kekusutan lalu dan melihat apa jua masalah sebagai satu peluang.
Kehebatan pemimpin dinilai mengikut sumbangan, legasi yang ditinggalkannya sehingga boleh dikenang dan dibangga oleh seluruh rakyat. Pemimpin bukan sekadar pentadbir yang hanya datang ke pejabat melakukan tugas rutin, cukup bulan beroleh gaji.
Pemimpin sebenar memotivasi rakyat, menjadi pencetus perubahan, memahami keluh kesah rakyat dan berani mengatasi kemelut yang dihadapi masyarakat.
Di samping itu, pemimpin patut mengepalai tuntutan kemajuan, memimpin rakyat bagi mencapai faedah dibidang sosial, ekonomi, agama dan kemasyarakatan.
Pemimpin yang berkesan akan bersungguh-sungguh dalam membela rakyat dan tidak sekadar memenuhi kehendak penyokong parti. Pemimpin sejati adalah yang tahu apa yang dilakukannya, memberi manfaat kepada masyarakat di atas apa yang dilakukan dan cekap dalam menggalas amanahnya.
Bukan hanya pandai memberi kuliah bulanan di kediaman rasmi ataupun petah bercakap semasa dihadapkan soalan media.
Apa yang lebih utama ialah dinamika dalam bekerja dan tidak sekadar pandai berjanji namun akhirnya tidak mampu dipenuhi.
Jika syarat-syarat dan ciri kepimpinan sebegini mampu diperkasa barulah tampak jelas dan akan terasa impak 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'. -Utusan Malaysia
PAS KEDAH ATAU UMNO PADANG SERAI YANG SELESA ??
BalasPadamRASANYA UMNO PADANG SERAI LEBIH SELESA DARI PAS KEDAH...YG TERPAKSA BERRETORIK DENGAN BERBAGAI AGENDA UNTUK BAGI RAKYAT PECAYA.
UMNO PDG SERAI MASIH LAGI BERGAYA SEOLAH-OLAH PRU13 MEREKA YANG PUNYA.
INGAT PDG SERAI BEKAS KUBU KUAT PKR!! JGN SAMPAI PRU13...PDG SERAI KEKAL DENGAN KETUA BAHAGIAN YANG DOK ADA...KERANA WAKIL RAKYATNYA TAK MENANG PILIHAN RAYA...
AKHIRNYA KEDAH KALAH KETUA BAHAGIAN YG KAYA...BERAKSI MACAM YB YANG MENANG PILIHAN RAYA !!
RENUNG-RENUNGLAH...UNTUK BANGSA DAN RAKYAT JELATA.