Khamis, 18 Mac 2010

RUMAH JADI PUSAT SEMBELIH DAN LAPAH BABI


LUNAS - Penduduk di sebuah taman di sini, kesal apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti penyembelihan dan melapah babi di dalam kawasan rumah. Lebih mengecewakan apabila cebisan daging dan tulang dikatakan diletakkan di luar kawasan rumah itu. Seorang penduduk taman itu berkata, masalah ini telah dimaklumkan kepada beberapa pihak terlibat tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil. Dari tinjauan dibuat, terdapat beberapa peralatan seperti pencangkuk dan alat untuk menggantung babi dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, masalah itu berlarutan empat hingga lima bulan apabila penduduk menjumpai cebisan daging babi di sekitar kawasan rumah itu. “Pada awalnya kami tidak mengetahui tentang masalah ini tetapi setelah pemilik rumah semakin kerap melakukan perbuatan itu, kami mula curiga dengan aktiviti dijalankan. Kebiasaannya mereka akan menjalankan aktiviti berkenaan pada waktu subuh untuk mengaburi mata penduduk. “Mereka perlu peka bahawa penduduk yang bertentangan rumah adalah masyarakat Melayu dan seharusnya menghormati jiran tetangga,” katanya.

Dia berkata, selepas aktiviti melapah dijalankan, mereka akan memotong daging dan tulang babi yang ada untuk diasingkan. Cebisan yang tidak diperlukan akan dibuang ke dalam tong sampah. Apa yang menjadi masalah sekarang ini, apabila kebersihan tidak diutamakan, haiwan liar seperti anjing akan menggonggong sisa babi itu ke merata tempat. Penduduk taman meminta Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) dan polis membuat teguran kepada pemilik rumah berkenaan sebelum berlaku sebarang salah faham dan pertelingkahan. “Kami sangat berharap MPKK dan polis dapat memberikan nasihat kepada pemilik rumah ini,” katanya. Sinar Harian

KOMEN UKL

Difahamkan kawasan perumahan tersebut yang terletak dalam kawasan DUN Lunas. Lebih menarik terdapat dua Ahli Majlis Perbandaran Kulim yang tinggal di kawasan tersebut, seorang PKR dan seorang lagi wakil PAS. Macamana aduan yang dibuat sejak lima bulan lalu, masih tiada sebarang tindakan. Apa peranan Ahli Majlis ini?